A guest blog by @Ahnaf Irsyad
Paradoks digital : Kebangkitan fotografi analog
Sebagai seorang milennial yang lahir pada tahun terakhir kohort tersebut, aku merasakan bahawa anak muda seumur aku merupakan generasi yang telah melihat dan merasa perkembangan teknologi dari zaman peralihan analog-digital dan melihat ia matang sehingga kini.
Kami merupakan generasi terakhir yang membeli setem, mengorek syiling untuk menelefon, menggulung kaset dan juga menghantar ke kedai untuk mencuci gambar. Bagi seorang zoomer, generasi selepas kami, ia kelihatan aneh kerana setiap perkara tersebut kini hanya dilakukan melalui sentuhan jari pada skrin telefon pintar tanpa perlu sebarang usaha yang berat pun.
Namun sesuatu yang paradoks dalam perkembangan teknologi ini juga menyaksikan generasi zoomer yang lahir dengan sudu emas gajet mula mencari kembali untuk menangkap gambar dengan filem. Sesuatu yang ironi jika difikirkan yang kita sentiasa ingin penyelesaian yang ringkas dalam mencapai sesuatu seperti menangkap gambar pada waktu kini. Mengapa begitu?
Melihatkan trend kini yang mana gajet dilancarkan setiap 18 bulan, aku berpendapat yang generasi kita mula kepenatan dalam mengejar teknologi. Segalanya terlalu mudah sehinggakan lapangan yang sangat teknikal seperti fotografi kini boleh dilakukan oleh kanak-kanak yang mana dalam peluang 1/1000, mereka mampu untuk menghasilkan gambar yang setara dengan hasilan profesional tanpa memahami ilmu teknikal fotografi.
Dengan kata lain, fotografi pada era ini adalah sangat mudah sehinggakan zoomer merasa aneh dan tertarik akan sejarah fotografi yang sangat teknikal serta mempunyai proses manual yang sukar. Proses inilah yang mendorong fotografi analog mula mendapat tempat niche dalam kalangan generasi zoomer kerana keterbatasan teknologi membuatkan segala proses pembelajaran dan pemahaman teknikal fotografi itu lebih bermakna.
Apatah lagi, generasi zoomer kekurangan satu perkara yang generasi sebelumnya ada, iaitu artifak fizikal. Generasi milennial dan sebelumnya mempunya artifak fizikal yang menjadikan perekodan sejarah mereka lebih bermakna yang mana kita masih lagi menyimpan surat bekas kekasih, kaset Linkin Park Live in Texas yang dibeli setelah berlapar selama sebulan menyimpan duit poket dan juga negatif filem rombongan sekolah bersama rakan karib.
Adakah zoomer mempunyai artifak itu? Setiap yang direkod telefon pintar mereka tak akan bertahan lama, samada hilang sewaktu menukar gajet atau dipadam secara senyap oleh sistem operasi bagi melancarkan pemprosesan. Zoomer juga ingin merasai artifak sejarah hidup mereka yang berkekalan, namun ternyata kemajuan teknologi telah menembak mereka kembali.
Generasi ini pula kini hanya merasa sesuatu gajet selama 18 bulan berbanding 10 tahun seperti Nikon F2 pada era 70-an. Mereka perlu berehat dari mengejar dan fotografi analog adalah jawapannya. Proses yang lambat serta kefahaman teknikal yang mendalam memberikan mereka masa untuk merehatkan mata mereka dari skrin dan menunggu gambar siap pula mengurangkan nafsu sosial media.
Tiada yang yang lebih memuaskan dari mendapat semula gulungan negatif yang siap dicuci selepas tiga hari menghabiskan segulung filem yang mengambil masa sebulan untuk memilih acara dan adegan manis kehidupan setiap individu. Begitulah paradoksnya perkembangan teknologi kerana ia tak semestinya mampu untuk memenuhi keperluan sosial generasi kini.
Sejujurnya, aku tak merasakan filem ialah medium utama dekad ini. Digital adalah tidak dapat dielakkan. Namun keterbatasan filem ini adalah waktu rehat untuk kita mencapai keseimbangan sosial untuk berehat dari arus deras digital. Adakah filem akan kekal lestari pada dekad akan datang? Aku tak pasti. Tapi apa yang aku pasti, filem masih punya tempat dalam ruangan niche yang melangkaui nostalgia generasi pra-zoomer. Filem belum mati.
Tentang penulis
Ahnaf Irsyad merupakan mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya yang menuntut di Fakulti Sastera dan Sains sosial. Pembelajarannya dalam bidang sosiologi membuatkan beliau sentiasa mempunyai persoalan dalam setiap ketik pengatup kameranya. Jika tidak kelihatan berfoto jalanan di Kuala Lumpur, beliau semestinya terperuk menyiapkan tesisnya.
Facebook: Ahnaf Irsyad
Instagram: ahnaf.irsyad
Comentários